Join me on Facebook Follow me on Twitter Subscribe to RSS Email me

Saturday 2 July 2011

SEJARAH KERTAS 2 ( HUKUM ADAT )

1. Bincangkan hukum adat yang diamalkan di Malaysia sebelum campur tangan British.

Pendahuluan (3/2m)

Sebelum campur tangan British, masyarakat di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telahpun mempunyai undang-undang mereka tersendiri. Undang-undang ini dipanggil hukum adat. Hukum adat merupakan peraturan dan undang-undang yang diamalkan secara turun-temurun. Sesiapa yang melanggarnya boleh dihukum. Hukum adat ini dilaksanakan bagi menjamin hak anggota masyarakat dan memastikan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan selesa. Di Tanah Melayu terdapat dua hukum adat yang diamalkan iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Di Sarawak hukum adat yang diamalkan ialah Adat Dusun Tunggu manakala di Sabah pula ialah Adat Tenom, Adat Dusun dan Adat Temogun.

Isi - (20m)


i. Adat Perpatih ( 7m)

a) Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera dan dibawa ke Tanah Melayu oleh orang Minangkabau. Adat ini berkembang di Negeri Sembilan dan Naning pada abad ke-17.

b) Dari segi politik Adat Perpatih bersifat demokrasi, iaitu perlantikan pemerintah dibuat dari bawah, iaitu Anak buah memilih buapak, buapak memilih lembaga , lembaga memilih Undang dan Undang akan melantik Yamtuan Besar (Raja). Ini bermakna Yamtuan Besar tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan pembesar kerana perlantikan itu dibuat oleh para pembesar yang berada di hierarki yang lebih ke bawah. Selain itu keputusan yang dibuat oleh Yamtuan Besar juga adalah berdasarkan keputusan bersama dengan Undang.

c) Dari segi kekeluargaan dan perkahwinan, Adat Perpatih mengamalkan hidup secara bersuku-suku, iaitu hidup secara berkeluarga dengan ahli-ahlinya terdiri daripada satu ikatan sedarah sedaging. Setiap suku mempunyai nama tersendiri seperti Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka, Tiga Batu.

d) Dalam soal perkahwinan Adat Perpatih mengamalkan eksogami iaitu tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Selepas berkahwin, si suami akan meninggalkan keluarganya kerana si isteri akan membawanya tinggal di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibu si isteri. Jika berlaku penceraian atau si isteri meninggal dunia, maka si suami akan kembali semula kepada sukunya yang asal manakala anak-anaknya mereka bukan menjadi hak keluarga asas pasangan suami isteri tersebut tetapi hak rumpun ibunya.

e) Adat Perpatih juga bersifat matriarchal/matrilineal, iaitu mengutamakan kedudukan wanita. Wanita dianggap sebagai pengasas suku. Harta pusaka turun-temurun adalah kepunyaan suku. Pewarisan harta diberatkan di sebelah ibu dan anak perempuan menjadi asas wujudnya suku dan ini menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Si suami tidak berhak ke atas harta pusaka.

f) Dari segi undang-undang jenayah, hukuman dalam Adat Perpatih bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi ganti rugi. Contohnya jika seseorang dari suku itu dicederakan, dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing sebagai ganti darah yang mengalir, besar atau kecil binatang itu bergantung kepada besar atau kecil luka yang dialami. Bagi kes kecurian hukumannya ialah memulangkan semula barang yang dicuri atau dibayar ganti rugi. Bagi kesalahan membunuh, si pembunuh mesti menanggung hidup keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya boleh dikenakan ke atas kesalahan serius seperti mendurhaka. Adat Perpatih berpegang kepada konsep orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka. Pelaksana undang-undang biasanya dijalankan oleh Buapak atau Lembaga kecuali hukuman bunuh yang hanya boleh dijatuhi oleh Yamtuan Besar

ii. Adat Temenggung (7m)


a) Adat ini berasal dari Palembang, Sumatera dan diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan. Adat ini telah diresapi oleh unsur-unsur Islam mengikut mazhab Shafie. Adat ini dipercayai dibawa ke Tanah Melayu oleh keturunan Diraja Palembang. Disebar luaskan ke seluruh Tanah Melayu kecuali Negeri Sembilan dan kawasan Naning di Melaka.

b) Dari segi politik Adat Temenggung bersifat autokrasi,iaitu kuasa terletak di tangan pemerintah atau raja. Raja atau sultan terlalu istimewa dan kuasanya diperkukuhkan dengan konsep daulat dan durhaka. Kuasa raja dikaitkan dengan kesaktian dan sesiapa yang melanggarnya terkena tulah raja. Raja mempunyai keistimewaan tertentu yang dilambangkan dengan penggunaan warna tertentu dan bahasa dalam yang hanya dikhaskan untuknya. Raja atau sultan mempunyai kuasa mutlak dan berhak melantik pembesar sama di peringkat negeri, jajahan, mukim mahupun kampung. Jawatan sultan adalah bersifat warisan iaitu putera sulungnya akan dilantik menjadi sultan jika berlaku kemangkatan sultan kecuali di Perak.

c) Dari segi pembahagian harta Adat Temenggung mengutamakan kaum lelaki (bersifat patriarchal) yang dianggap akan melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Sifat ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Anak lelaki akan mewarisi harta pusaka dengan kadar 2/3 berbanding anak perempuan. Ini berdasarkan tanggungjawab anak lelaki yang lebih besar dalam keluarga berbanding anak perempuan. Jika berlaku pencerian lazimnya cara pembahagian harta suami isteri dibuat mengikut hukum syarak. Harta yang didapati semasa perkahwinan dipanggil harta sepencarian. Bagi harta sepencarian, ia akan dibahagikan dua sama banyak kepada isteri yang diceraikan dan jika isteri yang diceraikan tidak bekerja si isteri hanya berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja.

d) Dalam soal perkahwinan Adat Temenggung mengamalkan endogami, iaitu membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja dengan syarat ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Seseorang perempuan yang berkahwin dikehendaki tinggal bersama-sama dengan keluarga ibu bapa suaminya kerana si isteri lazimnya akan menjadi ahli keluarga si suami.

e) Dari segi Udang-undang Adat Temenggung bersifat menghukum atau pembalasan. Oleh itu pelaksanaan sesuatu undang-undang dibuat dengan tegas. Ia bertujuan untuk memberi ikhtibar kepada orang lain dan pembalasan kepada si pesalah. Contoh kesalahan membunuh akan dihukum bunuh. Dalam Adat Temenggung sultan atau pembesar yang akan menjadi pelaksana undang-undang. Pembesar boleh mengendalikan semua kesalahan kecuali yang melibatkan hukuman bunuh. Kesalahan yang melibatkan hukuman bunuh hanya dikendalikan oleh sultan.

iii. Hukum adat masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak (6m)

a) Masyarakat di Sabah dan Sarawak juga mempunyai adat yang tersendiri seperti di Tanah Melayu bagi menjamin keharmonian hidup. Masyarakat bumiputera Sarawak mengamalkan Adat Tunggu (denda dan kesalahan) dan Undang-undang Mahkamah Melayu. Hukum adat mengawal soal bertanam padi dan tempat kediaman orang Iban. Hukum adat menentukan tanah kampung halaman adalah kepunyaan bersama sesuatu kumpulan masyarakat. Semua penduduk Rumah Panjang dalam kumpulan tersebut berhak bercucuk tanam, memburu, dan mengambil hasil hutan di kawasan kampung mereka. Antara kesalahan yang dikenakan hukuman denda ialah sesiapa yang gagal melaporkan sebarang bencana, kecemasan , tidak bekerjasama dalam sesuatu tindakan yang telah dipersetujui, dan pelawat yang memasuki rumah panjang tanpa menanggalkan parangnya.

b) Di peringkat kampung adat dilaksanakan oleh ketua kampung atau Majlis Orang Tua-Tua. Dalam mengendalikan sesuatu perbicaraan biasanya Pengeran Temenggong atau Datuk Orang Kaya yang mewakili Sultan Brunei dan dua orang wakil suku yang akan bertindak sebagai hakim. Masyarakat Sabah mengamalkan Adat Dusun, Adat Tenom, dan Adat Timogun. Hukum adat ini dikendalikan oleh oleh “Orang Tua”

Kesimpulan (2/3m)

Hukum adat memainkan peranan penting dalam mengekalkan peraturan hidup. Ia menjamin keharmonian dalam masyarakat, menentukan hak dan mengawal tingkah laku individu dalam masyarakat. Namun selepas kedatangan penjajah undang-undang adat semakin dipinggirkan kerana British memperkenalkan undang-undang Barat . Undang-undang barat mula mengantikan peranan undang-undang adat di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Hanya bahagian-bahagian tertentu undang-undang adat dikekalkan oleh British dengan sedikit penyesuaian bagi mengambil hati penduduk tempatan dan mengelakkan penentangan daripada penduduk tempatan.

PERBANDINGAN CIRI-CIRI KETAMADUNAN BARAT & CIRI-CIRI KETAMADUNAN ISLAM(SEJARAH 1 BAHAGIAN A&B STPM)

Pengenalan

Tamadun dari perspektif Barat dikatakan bermula dengan kelahiran bandar-bandar.Hal ini adalah merujuk kepada perkataan civilization berasal daripada perkataan Latin yang berkaitan dengan city atau civitas yang bermaksud bandar atau kota. Kelahiran tamadun awal manusia dikatakan bermula apabila manusia tinggal menetap dengan membina perkampungan. Perkampungan berkembang menjadi bandar-bandar dan dari sinilah manusia mencipta sistem tulisan, mencipta teknologi, mempercayai agama dan sebagainya.

Manakala dari perspektif Islam pula tamadun dikaitkan dengan beberapa perkataan Arab.Seperti tamadun, hadara dan umran. Ibn Khaldun melalui bukunya al-muqaddimah menggunakan perkataan umran yang bererti kawasan tanah yang didiami, tinggal menetap, berkembang subur dan maju. Selain itu, Ibn Khaldun menghuraikan maksud tamadun sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehiduapan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.

Ciri-Ciri Ketamadunan Barat

Hidup menetap membawa kepada kelahiran bandar dan seterusnya negara. Menurut Arnold Toynbee dalam bukunya A Study of History, tamadun adalah jenis kebudayaan yang terdapat di bandar-bandar. Bandar menjadi pusat industri, pentadbiran, perdagangan dan perkhidmatan. Tamadun-tamadun awal seperti Mesopotamia, Mesir, Yunani dan lain-lain lahir akibat perkembangan bandar-bandar.

Sistem tulisan mula dicipta dalam memenuhi keperluan kehidupan seperti untuk merekod sesuatu dengan menggunakan simbol-simbol tertentu. Penggunaan sistem tulisan telah menggalakkan aktiviti keilmuan, ekonomi dan pentadbiran.

Organisasi sosial
lahir apabila manusia hidup bermasyarakat bagi memenuhi keperluan hidup. Mereka terpaksa bergantung di antara satu sama lain. Pada umumnya raja menduduki tangga teratas diikuti oleh golongan pendeta dan bangsawan, Seterusnya diikuti rakyat biasa yang bebas seperti petani dan artisan. Golongan yang paling bawah ialah hamba abdi.

Agama dan kepercayaan
menjadi unsur penting dalam pembentukan sesuatu tamadun. Dalam tamadun awal agama berkaitan dengan sistem pemerintahan iaitu raja dianggap mendapat mandat dan restu dari tuhan atau dewa-dewa untuk memerintah. Jenis kepercayaan pada zaman tamadun awal adalah berbentuk politeisme atau mempercayai banyak tuhan. Unsur-unsur alam sekitar disembah untuk mengelakkan malapetaka.

Pengkhususan pekerjaan
melambangkan pekerjaan yang khusus dalam sesuatu masyarakat yang bertamadun. Masyarakat dibahagikan kepada petani, buruh, tentera, hamda, artisan dan sebagainya dalam menyediakan keperluan hidup masyarakat. Sesetengah masyarakat menjadikan pekerjaan sebagai hak warisan dan dengan itu tidak berlaku mobiliti sosial dalam masyarakat tersebut.

Sains dan teknologi muncul dari penemuan-penemuan baru seperti penciptaan kalendar, roda, alat menyukat, pembinaan bangunan, jalan raya, terusan dan lain-lain. Kemajuan sains dan teknologi menjadi ukuran dalam menentukan bangsa-bangsa yang bertamadun seperti tamadun Mesir yang terkenal dalam teknologi pembinaan, tamadun Mesopotamia dalam bidang astronomi dan pembinaan terusan dan lain-lain


Ciri-ciri Ketamadunan Islam


Tamadun Islam juga mengaitkan kota atau bandar sebagai tempat bermulanya tamadun. Rasulullah s.a.w sendiri menjadikan kota Madinah sebagai tempat bermulanya perkembangan tamadun Islam. Khalifah-khalifah yang memerintah selepas itu juga telah mendirikan kota-kota di seluruh negara Islam. Antaranya Kufah, Baghdad, Basrah, Fustat dan Qairawan.

Penggunaan tulisan adalah salah satu ciri penting tamadun Islam. Ia mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam, seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan manusia. Ilmu pengetahuan pula merupakan asas utama dalam tamadun Islam. Wahyu pertama bermula dengan perkataan iqra’ atau bacalah menggambarkan agama Islam menggalakkan umatnya supaya mementingkan ilmu pengetahuan termasuklah membaca dan menulis. Dari ilmu pengetahuanlah sesuatu masyarakat manusia itu akan berkembang maju dan hidup secara bertatasusila.

Keadilan amat penting dalam kehidupan masyarakat Islam. Adil dari sudut pandangan Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Golongan yang lemah seperti golongan miskin dalam masyarakat Islam perlu diberi bantuan dan perhatian supaya mereka dapat hidup seperti anggota masyarakat yang lain. Golongan hamba pula diberi layanan yang baik dan digalakkan untuk diberi kebebasan. Islam juga lebih menekankan persamaan taraf antara sesama manusia.

Aqidah yang benar iaitu mempercayai Allah yang Maha Esa dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dianggap ciri utama manusia yang bertamadun. Tanpa aqidah yang benar manusia hidup dalam kesesatan seperti masyarakat Arab Jahiliah.

Masyarakat Islam terdiri daripada berbilang bangsa telah membentuk sebuah masyarakat yang memainkan pelbagai peranan. Perbezaan peranan ini telah melahirkan pembahagian kerja dan seterusnya mewujudkan suatu bentuk ekonomi bandar. Islam mewajibkan setiap individu dalam masyarakat menjalankan tugas mereka dengan baik. Mereka dikehendaki sentiasa membaiki kerja mereka serta bekerjasama dengan orang lain demi kepentingan masyarakat. Setiap individu bebas memilih peranan mereka sebagai anggota masyarakat dan dengan itu berlaku mobiliti sosial kerana mereka tidak terikat dengan pekerjaan warisan seperti dalam kebanyakan tamadun yang terdahulu.

Tamadun Islam telah memberikan sumbangan yang paling cemerlang dalam bidang sains dan teknologi. Islam telah melahirkan ramai tokoh intelektual yang mngemukakan banyak penemuan baru. Antaranya seperti al-Biruni, al-Kindi dan Ibn Sina. Di samping menggalakkan perkembangan sains dan teknologi, Islam tidak mengabaikan aspek-aspek akhlak. Akhlak yang mulia merupakan amalan hidup manusia yang bertamadun. Bagi agama Islam masyarakat yang tidak berakhlak tidak dianggap bertamadun walaupun mereka maju dalam aspek kehidupan yang lain. Nabi Muhammad s.a.w diutuskan ke dunia bertujuan untuk menyempurnakan akhlak manusia yang rosak pada zaman jahiliah

SEJARAH 2 ( BAHAGIAN A )

6. Huraikan rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dari tahun 1957 hingga tahun 1963.

Pendahuluan (3/2m)

Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, perbezaan jurang ekonomi antara kaum Melayu dengan kaum-kaum lain masih berterusan. Justeru, kerajaan telah memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi luar bandar dengan matlamat untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi agar dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di Tanah Melayu. Rancangan pembangunan ekonomi dari tahun 1957 hingga tahun 1963 adalah untuk mengatasi masalah sosioekonomi seperti kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi yang telah wujud akibat dasar kolonial British. Pada keseluruhannya, terdapat dua fasa penting rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu Rancangan Malaya Pertama (1956 – 1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961 – 1965).

Isi – (20m)

A. Rancangan Malaya Pertama 1956 – 1960 (10m)

a) Rancangan Malaya Pertama ialah rancangan pembangunan ekonomi yang pertama dilaksanakan selepas negara kita mencapai kemerdekaan. Matlamat utama rancangan ini adalah untuk membangunkan sektor ekonomi di luar bandar bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar. Selain itu, rancangan ini juga bermatlamat untuk mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar. Kerajaan memperuntukkan lebih daripada $1000 juta untuk mencapai matlamat rancangan tersebut.

b) Di bawah Rancangan Malaya Pertama bidang-bidang yang diberi tumpuan ialah sektor ekonomi sebanyak 60%, sektor perkhidmatan sosial sebanyak 30% dan sektor awam sebanyak 10%. Dengan tumpuan ini adalah diharapkan bahawa ketidakseimbangan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

c) Dalam sektor ekonomi perkara-perkara yang diutamakan ialah :

-Penanaman semula getah di ladang dan kebun kecil.
-Pembukaan tanah baru untuk pertanian.
- Kepelbagaian keluaran petani dan nelayan.
- Peluasan perusahaan perlombongan.
- Galakan terhadap pembangunan perusahaan.
- Pembentukan dasar penggunaan tanah yang sesuai.

d) Sektor perkhidmatan sosial pula mengutamakan kemajuan kesihatan, pendidikan, perumahan, pembaikan dan pemodenan dalam sistem perhubungan yang ada serta pembangunan majlis perbandaran dalam jangka masa 10 tahun. Seterusnya, dalam sektor awam diutamakan perkhidmatan yang bercorak ketenteraan dan keselamatan serta pembinaan balai polis, pejabat pos, mahkamah dan rumah kerajaan.

e) Rancangan ini juga bertujuan mempelbagaikan kegiatan ekonomi supaya negara kita tidak terlalu bergantung kepada pengeluaran komoditi getah dan bijih timah sahaja, menambahkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat luar bandar, mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kawasan luar bandar dan bandar, meningkatkan sumber pendapatan negara dan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan perumahan bagi penduduk luar bandar.

f) Untuk menjayakan Rancangan Malaya Pertama , dua agensi kerajaan telah ditubuhkan iaitu Rural Development Industrial Authority (RIDA) atau Lembaga Pembangunan Industri Luar Bandar dan Federal Land Development Authority (FELDA) atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. RIDA ditubuhkan sejak tahun 1953 bermatlamat untuk membangunkan dan memajukan penduduk luar bandar melalui pembangunan ekonomi, sosial dan kemudahan kepada penduduk. Antara peranan RIDA yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA) ialah :

- Menggalakkan, membimbing dan melatih orang Melayu dalam sektor perdagangan dan perindustrian.

- Memberi pinjaman kepada usahawan Melayu yang ingin memulakan perniagaan.

- Menggalakkan orang Melayu mengusahakan perusahaan kecil di luar bandar berasaskan kegiatan tradisional seperti kilang padi, perusahaan kampung pemprosesan makanan dan buah-buahan.

- Memperkenalkan program latihan bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan penduduk luar bandar, terutamanya golongan belia.

- Menyediakan bantuan modal teknikal bagi kaum Bumiputera untuk menceburi bidang perusahaan dan perniagaan.

g) FELDA pula ditubuhkan pada tahun 1956 sebagai badan berkanun yang bertangggungjawab melaksanakan pembangunan tanah dan petempatan di luar bandar. Pada amnya, FELDA dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perkara-perkara berikut :

- Membuka tanah-tanah baru untuk penanaman getah dan kelapa sawit.

- Menempatkan penduduk luar bandar dalam skim FELDA yang disediakan kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya, klinik dan sekolah.

- Memberikan tanah kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah atau tidak cukup tanah.

- Meninggikan taraf hidup penduduk luar bandar yang kebanyakannya menyara hidup sebagai petani.

h) Secara keseluruhannya, skim FELDA telah ditanam dengan kelapa sawit sebanyak 59.6 % dan getah sebanyak 40.4 %. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar ditubuhkan pada tahun 1959 yang diketuai oleh Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Kementerian ini bertanggungjawab menjalankan tugas menyelaras, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar. Agensi RIDA dan FELDA telah diletakkan di bawah kementerian ini untuk menggiatkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

i) Pada keseluruhannya, Rancangan Malaya Pertama kurang mencapai matlamatnya kerana pada masa itu negara masih menghadapi ancaman komunis. Sebanyak 54.5% daripada peruntukan rancangan ini terpaksa digunakan untuk keselamatan negara bagi menghadapi ancaman komunis. Pada masa yang sama, negara menghadapi masalah kewangan akibat kejatuhan harga getah dan bijih timah sedangkan kedua-dua komoditi ini merupakan sumber pandapatan utama bagi kerajaan.

B. Rancangan Malaya Kedua 1961 – 1965 (10m)

a) Rancangan Malaya Kedua dilaksanakan dengan tujuan untuk meneruskan objektif-objektif Rancangan Malaya Pertama seperti penyediaan lebih banyak kemudahan asas dan menggalakkan kepelbagaian ekonomi di kawasan luar bandar. Selain itu, beberapa matlamat baru diperkenalkan setelah menyedari kepincangan Rancangan Malaya Pertama dan beberapa masalah yang perlu diberi pertimbangan.
b) Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $3,180 juta untuk menjayakan Rancangan Malaya Kedua. Antara tujuan-tujuan baru yang ada ialah usaha mempelbagaikan ekonomi dan pertanian supaya tidak terlalu bergantung kepada getah dan bijih timah, memesatkan lagi perusahaan pembuatan supaya dapat mengatasi masalah pengangguran dalam negara dan meninggikan pengeluaran bahan-bahan makanan.

c) Di bawah Rancangan Malaya Kedua, FELDA telah memainkan peranan penting dalam mempergiatkan rancangan pembukaan tanah dan petempatan wilayah untuk memberikan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar. Antara tahun-tahun 1956 hingga 1963, FELDA telah membuka kawasan-kawasan tanah yang luas. Setiap skim FELDA meliputi kawasan seluas 1600 – 2000 hektar. Getah ataupun kelapa sawit telah ditanam, sementara perumahan dan kemudahan-kemudahan lain juga disediakan.

d) Masalah besar yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil ialah pemasaran hasil tanaman mereka. Untuk mangatasi masalah ini Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah ditubuhkan oleh kerajaan.FAMA ditubuhkan dengan tujuan untuk memperbaiki dan mempertingkat sistem penyimpanan dan pemasaran hasil pertanian, terutama yang dihasilkan oleh petani di luar bandar.

e) Seterusnya, objektif-objektif lain penubuhan FAMA ialah :

- Menjamin pasaran hasil pertanian seperti getah, kelapa sawit, kelapa dan
koko.

- Mengurangkan monopoli orang tengah.

- Menentukan harga yang berpatutan kepada petani.

- Memberi dorongan kepada petani supaya menambahkan pengeluaran.

f) Dua strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam melaksanakan Rancangan Malaya Kedua ialah :

- Penyertaan dan penglibatan rakyat dalam proses perancangan dan pelaksanaan.

- Perancangan program oleh kerajaan berdasarkan permintaan rakyat setempat.

g) Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah menubuhkan Bilik Gerakan Negara yang berpusat di Kuala Lumpur untuk membuat rancangan pembangunan ekonomi. Bilik Gerakan ini juga ditubuhkan di setiap pejabat daerah seluruh negara. Pegawai Daerah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program pembangunan di daerah masing-masing.Bilik Gerakan Negara mengadakan kawalan rapi terhadap pembangunan ekonomi dengan mengumpulkan segala perangkaan, peta dan carta yang menunjukkan kemajuan setiap kawasan.

h) Maklumat-maklumat yang dikumpulkan dimuatkan dalam Buku Merah yang mengandungi peta, carta dan butir-butir kemajuan tentang projek-projek pembangunan luar bandar yang sedang dijalankan. Selain itu, jentera pentadbiran di peringkat negeri, daerah dan mukim telah ditubuhkan untuk menggerak, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan.

Kesimpulan (2/3m)
Jelaslah di sini menunjukkan bahawa kerajaan memang mengambil langkah yang positif dalam usaha meninggikan taraf hidup masyarakat luar bandar, dan menghapuskan atau merapatkan jurang ekonomi antara penduduk peribumi di kawasan luar bandar dengan penduduk di bandar. Walaupun usaha yang dilakukan oleh kerajaan tidak berjaya sepenuhnya, namun setidak-tidaknya usaha dan inisiatif kerajaan adalah berhasil mencapai tujuan dan matlamatnya. Perkembangan ekonomi luar bandar lebih menampakkan kejayaan dalam Rancangan Malaya Kedua kerana dengan penubuhan FAMA membolehkan petani menjual hasil pertanian mereka dan menambahkan pendapatan

CINTA EMBUNAN PAGI

Berseri indahnya bagai pelangi
Berkembang mekarlah bunga-bunga di hati
Namun ku tiada juga begini
Hujan turun melanda dan bunga gugur ke bumi

Cintamu sesegar embunan pagi
Semakin resah menanti terbit mentari
Hangatnya yang membakar, mengeringkan
segala keindahan yang penuh kepalsuan

Engkau yang aku sayangi
Siakan hidupku ini
Lautan madu ku beri
Engkau racuni

Ku sedari hina diri ini
Kosong tiada bererti
Biarlah diriku pergi
Ku ubati lukaku sendiri

Ku cuba gagahi bahu sendiri
Biarpun sayapku telah tiada lagi
Namun ku tak berdaya menghadapi
Di dalam kegelapan bimbang tersungkur lagi

Oh Tuhan kau teguhkanlah keimanan
Untukku tempuhi suratan kehidupan
Walaupun di hati rasa terkilan
Tapi apakan daya semua takdir Tuhan


GEOGRAFI ALAM SEKITAR FIZIKAL

3
a)Apakah yang dimaksudkan
dengan sejatpeluhan (5 M)

b)Bezakan faktor-faktor yang mempengaruhi proses
larian air permukaan dengan proses resapan (12 M)
 
c)Huraikan bagaimana imbangan air negatif
mempengaruhi kegiatan manusia (8 M)

JAWAPAN

3 a) Apakah yang dimaksudkan dengan sejatpeluhan
(5 M)

Sejatpeluhan merupakan proses kehilangan air pada tumbuhan yang berlaku bila tekanan wap pada sel-sel permukaan daun lebih tinggi daripada tekanan wap air di atmosfera

b) Bezakan faktor-faktor yang mempengaruhi proses
larian air permukaan dengan proses resapan (12 M)

Perbezaan faktor yang mempengaruhi larian air permukaan dengan resapan ialah:
 
Jenis tanah - Tanah lempung atau liat mudah menyebabkan larian air permukaan disebabkan sifatnya yang kohenif (likat) berbanding tanah berpasir yang lebih mudah meresap air.Manakala partikel tanih yang tersusun longgar seperti tanih pasir adalah lebih poros berbanding dengan susunan partikel yang lebih padat kerana wujudnya ruang-ruang udara yang lebih besar yang menyebabkan terjadinya proses resapan.

Litupan tumbuhan - Kanopi pokok boleh menghalang dan memperlahankan kejadian larian air permukaan.Manakala kawasan yang tebal tumbuhan seperti hutan primer menyebabkan kadar resapannya adalah tinggi.

Kecerunan - Permukaan tanah yang bercerun lebih mudah membentuk larian air permukaan berbanding di kawasan tanah pamah kerana air hujan yang turun akan mengalir sebagai larian permukaan atau subpermukaan akibat tarikan graviti.

c) Huraikan bagaimana imbangan air negatif mempengaruhi kegiatan manusia (8 M)

Perindustrian - menganggu operasi industri.Kilang yang menggunakan banyak air akan terjejas akibat kemarau.Contohnya industri berasakan pembuatan makanan,perusahaan dan sebagaianya.

Penyakit - penyakit seperti batuk kering dan kolera lebih mudah berlaku akibat sistem kumbahan dan rawatan air yang tak sempurna semasa kemarau

Pertanian - Produktiviti pertanian terjejas khususnya padi.Bekalan air yang tidak mencukupi menyebabkan pokok padi mati.Hasil pengeluaran tanaman padi akan merosot

Krisis air - Aras air di empangan merosot.Bekalan air terpaksa dicatu dan air yang dibekalkan juga mungkin tidak berkualiti dan menganggu sistem bekalan air domestik.

KAWAN

Tuesday 28 June 2011

SEJARAH KERTAS 2 BAHAGIAN A

3. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Pendahuluan ( 3/2 m )

Getah berasal dari Brazil. Tokoh penting yang membawa benih getah dari Brazil ialah Sir Hanry Wickham. Beliau telah membawa 70,000 biji getah untuk ditanam di Kew Gardens di London untuk tujuan percambahan. Daripada jumlah itu hanya 4% sahaja yang tumbuh. Pada tahun 1877, 22 spesis getah telah dihantar ke Singapura, sebahagiannya ditanam di Botanical Gardens Singapura dan sebahagiannya ditanam di kediaman Sir Hugh Low di Kuala Kangsar. Pada peringkat awal getah tidak popular di Tanah Melayu kerana para peladang kurang kemahiran berkaitan tanaman getah. Lantaran itu mereka lebih tertumpu kepada tanaman lain. Tanaman getah mula mendapat perhatian dan ditanam secara besar-besaran pada awal abad ke-20. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu

Isi - ( 20 markah )

i) Usaha H. N. Ridley

a) Beliau merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah mengembara ke seluruh Tanah Melayu memujuk orang ramai supaya menanam getah. Dengan usahanya jugalah banyak penyelidikan telah dijalankan tentang cara penanaman getah yang betul, kesesuaian tanah dan pembekuan getah. Hasil penyelidikan telah diedarkan kepada pengusaha getah malalui Straits And FMS Agriculturul Bulletin. Akibat daripada usaha-usahanya itu menyebabkan beliau digelar “Ridley Getah atau Ridley Gila”.

b) Pada tahun 1897 beliau telah memperkenalkan sistem torehan ibedem atau sistem torehan tulang ikan herring. Sistem torehan ini dapat mengelakkan pokok daripada rosak dan melanjutkan usia pokok. Beliau juga memperkenalkan cara yang lebih selamat untuk mengangkut anak-anak pokok ke tempat yang lebih jauh, iaitu dengan cara anak-anak pokok dibalut dengan arang yang lembab bagi mengelak daripada mati akibat kekurangan air. Usaha-usaha Ridley menampakkan hasil apabila pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 getah mula ditanam secara meluas. Contohnya pada tahun 1896, 16 hektar tanaman getah diusahakan oleh Tan Choy Yan. Menjelang tahun 1904, tanaman getah berskala besar mula ditanam di Kedah dan di Johor. Sehingga tahun 1911, terdapat lebih kurang satu juta ekar tanah telah ditanam dengan getah dan pada tahun 1930 getah telah menjadi eksport penting Tanah Melayu.

ii) Kemerosotan harga kopi.

Antara tahun-tahun 1896-1900, harga kopi telah mengalami kemerosotan di pasaran dunia akibat pengeluaran yang berlebihan. Kopi juga mengalami kemerosotan akibat serangan penyakit kupu-kupu Beehawk. Kejatuhan harga kopi menyebabkan peladang-peladang beralih tumpuan kepada tanaman getah. Bagi menggalakkan tanaman getah kerajaan Perak telah menjual 32, 000 biji getah dan 60,000 anak benih getah untuk ditanam di seluruh ladang di Tanah Melayu.





iii) Permintaan terhadap getah yang meningkat.

a) Pada awal abad ke-20 permintaan terhadap getah meningkat akibat daripada Revolusi Perindustrian yang berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Pelbagai barangan telah dicipta yang berasaskan getah. Contohnya perkembangan industri kereta menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat kerana getah digunakan untuk membuat tayar. Pada tahun 1888, J.B. Dunlop telah mencipta tayar angin. Pada tahun 1910, Amerika Syarikat telah menghasilkan 500,000 buah kenderaan. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat khususnya dari Amerika Syarikat. Pada tahun 1907, Amerika Syarikat telah membeli 37% daripada getah dunia dan telah meningkat kepada 77% pada tahun 1917.

b) Pada tahun 1839 Goodyear telah menemui kaedah mencampurkan getah dengan belerang dan haba supaya keras. Melalui kaedah ini dapat menghalang getah daripada menjadi lembut dan meleket apabila panas; menjadi keras dan rapuh apabila sejuk. Kaedah ini dkenali “Vulcanization”. Kejayaan kaedah ini telah menambahkan kepelbagaian penggunaan getah seperti kasut getah, pakaian kalis air, barangan elektrik, peralatan perubatan, getah pemadam, paip air dan lain-lain.

c) Permintaan yang tinggi terhadap getah telah meningkatkan harga getah. Contohnya pada tahun 1890 harga getah $1.30 sepaun telah meningkat kepada $2.50 sepaun pada tahun 1906. Harga getah tertinggi pernah dicapai ialah $ 5.50 sepaun pada tahun 1910. Peningkatan terhadap harga getah telah menggalakkan pelabur Eropah dan Cina menanam getah secara ladang. Antara ladang yang dibuka oleh pelabur Eropah ialah Guthrie, Harrison and Crossfield (Golden Hope), Socfin, Sime Darby dan Syarikat Getah Dunlop. Sementara itu, orang mula menggantikan tanaman kopi dengan tanaman getah. Perluasan tanaman getah telah menyebabkan pengeluaran getah Tanah Melayu meningkat. Contohnya pada tahun 1905 Tanah Melayu mengeluarkan 400 tan getah dan telah meningkat kepada 11,000 tan pada tahun 1911. Pada tahun 1922 Tanah Melayu mengeluarkan sebanyak 212,000 tan getah.

iv) Tenaga buruh yang murah

a) British telah membawa masuk secara beramai-ramai orang India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Kedatangan orang-orang India telah dapat membekalkan buruh yang murah kepada sektor getah. Pada tahun 1883 Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan India untuk membawa masuk buruh India secara terancang

b) Orang India dibawa masuk melalui sistem kontrak dan sistem kangany. Pada tahun 1908 sejumlah 43,515 orang buruh India di ladang-ladang getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jumlah ini telah meningkat kepada 139, 480 orang pada tahun 1918. Kehadiran buruh dengan jumlah yang besar telah membolehkan pemodal-pemodal Eropah membuka ladang-ladang getah yang lebih besar.

v) Penyelidikan getah secara saintifik

a) Pada tahun 1905, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan terhadap getah. Pada tahun 1907 Pertubuhan Penanaman Getah ditubuhkan. Pertubuhan ini menjalankan kerjasama dengan kerajaan British bagi menjalankan penyelidikan untuk memperbaki hasil dan mutu getah serta menambah keluasan kawasan getah. Pada tahun 1926 kerajaan telah menubuhkan Institut Penyelidikan Getah. Institut ini telah menghasilkan cara-cara yang lebih baik bagi penanaman getah, penggunaan baja, kawalan serangga, memproses susu getah, pisau menoreh yang sesuai, cara mengawet dan memekatkan susu getah.

vi) Galakan daripada Kerajaan

a) Kerajaan British memberi galakan kepada perusahaan getah. Pada tahun 1897 kerajaan telah mengenakan cukai yang rendah ke atas tanah yang ditanam dengan getah, iaitu sebanyak 10 sen bagi setiap 0.405 hektar bagi sepuluh tahun yang pertama dan selepas 10 tahun cukai dinaikkan kepada 50 sen. Duti ke atas getah hanyalah 2.5% bagi setiap lima belas tahun yang pertama dari tarikh kerja-kerja tanaman dimulakan.
b) Selepas tempoh tersebut duti tersebut tidak akan melebihi 5%. Pada tahun 1899 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $ 4000 bagi menjalankan eksperimen getah dan tanaman lain. Pada tahun 1904 syarikat-syarikat Eropah diberi keutamaan memperoleh pinjaman khas dengan kadar faedah yang rendah. Sebanyak $ 500, 000 diperuntukkan bagi menjayakan skim itu. Pada tahun 1908 jumlah itu ditambah tiga kali ganda. Kerajaan British juga memberi hak milik kekal kepada mereka yang membuka tanah untuk menanam getah.

vii) Penglibatan pelabur Eropah

a) Penglibatan pelabur Eropah menyumbang kepada perkembangan perusahaan getah. Penglibatan mereka telah menyebabkan tanaman getah secara besar-besaran terlaksana. Antara syarikat Eropah yang melibatkan diri dengan perusahaan getah ialah Guthrie, Dunlop, Sime Darby, Harrison dan Crosfield. Penglibatan syarikat Eropah telah menyebabkan pengeluaran getah di Tanah Melayu meningkat dengan pesatnya. Cntohnya pada tahun 1914 lebih daripada setengah bekalan getah dunia datangnya dari Tanah Melayu.

Kesimpulan (2/3 m)

Jelaslah bahawa pengenalan tanaman getah di Tanah Melayu telah berjaya menjadikan Tanah Melayu sebagai pengeluar utama getah dunia. Getah mula menjadi sumber ekonomi penting Tanah Melayu seperti juga bijih timah. Walau bagaimanapun pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an perusahaan getah mengalami kemerosotan akibat kemerosotan ekonomi dunia sehinggakan kerajaan British pada ketika itu terpaksa mengambil beberapa langkah bagi mengatasinya.