Join me on Facebook Follow me on Twitter Subscribe to RSS Email me

Saturday 2 July 2011

SEJARAH KERTAS 2 ( HUKUM ADAT )

1. Bincangkan hukum adat yang diamalkan di Malaysia sebelum campur tangan British.

Pendahuluan (3/2m)

Sebelum campur tangan British, masyarakat di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telahpun mempunyai undang-undang mereka tersendiri. Undang-undang ini dipanggil hukum adat. Hukum adat merupakan peraturan dan undang-undang yang diamalkan secara turun-temurun. Sesiapa yang melanggarnya boleh dihukum. Hukum adat ini dilaksanakan bagi menjamin hak anggota masyarakat dan memastikan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan selesa. Di Tanah Melayu terdapat dua hukum adat yang diamalkan iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Di Sarawak hukum adat yang diamalkan ialah Adat Dusun Tunggu manakala di Sabah pula ialah Adat Tenom, Adat Dusun dan Adat Temogun.

Isi - (20m)


i. Adat Perpatih ( 7m)

a) Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera dan dibawa ke Tanah Melayu oleh orang Minangkabau. Adat ini berkembang di Negeri Sembilan dan Naning pada abad ke-17.

b) Dari segi politik Adat Perpatih bersifat demokrasi, iaitu perlantikan pemerintah dibuat dari bawah, iaitu Anak buah memilih buapak, buapak memilih lembaga , lembaga memilih Undang dan Undang akan melantik Yamtuan Besar (Raja). Ini bermakna Yamtuan Besar tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan pembesar kerana perlantikan itu dibuat oleh para pembesar yang berada di hierarki yang lebih ke bawah. Selain itu keputusan yang dibuat oleh Yamtuan Besar juga adalah berdasarkan keputusan bersama dengan Undang.

c) Dari segi kekeluargaan dan perkahwinan, Adat Perpatih mengamalkan hidup secara bersuku-suku, iaitu hidup secara berkeluarga dengan ahli-ahlinya terdiri daripada satu ikatan sedarah sedaging. Setiap suku mempunyai nama tersendiri seperti Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka, Tiga Batu.

d) Dalam soal perkahwinan Adat Perpatih mengamalkan eksogami iaitu tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Selepas berkahwin, si suami akan meninggalkan keluarganya kerana si isteri akan membawanya tinggal di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibu si isteri. Jika berlaku penceraian atau si isteri meninggal dunia, maka si suami akan kembali semula kepada sukunya yang asal manakala anak-anaknya mereka bukan menjadi hak keluarga asas pasangan suami isteri tersebut tetapi hak rumpun ibunya.

e) Adat Perpatih juga bersifat matriarchal/matrilineal, iaitu mengutamakan kedudukan wanita. Wanita dianggap sebagai pengasas suku. Harta pusaka turun-temurun adalah kepunyaan suku. Pewarisan harta diberatkan di sebelah ibu dan anak perempuan menjadi asas wujudnya suku dan ini menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Si suami tidak berhak ke atas harta pusaka.

f) Dari segi undang-undang jenayah, hukuman dalam Adat Perpatih bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi ganti rugi. Contohnya jika seseorang dari suku itu dicederakan, dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing sebagai ganti darah yang mengalir, besar atau kecil binatang itu bergantung kepada besar atau kecil luka yang dialami. Bagi kes kecurian hukumannya ialah memulangkan semula barang yang dicuri atau dibayar ganti rugi. Bagi kesalahan membunuh, si pembunuh mesti menanggung hidup keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya boleh dikenakan ke atas kesalahan serius seperti mendurhaka. Adat Perpatih berpegang kepada konsep orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka. Pelaksana undang-undang biasanya dijalankan oleh Buapak atau Lembaga kecuali hukuman bunuh yang hanya boleh dijatuhi oleh Yamtuan Besar

ii. Adat Temenggung (7m)


a) Adat ini berasal dari Palembang, Sumatera dan diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan. Adat ini telah diresapi oleh unsur-unsur Islam mengikut mazhab Shafie. Adat ini dipercayai dibawa ke Tanah Melayu oleh keturunan Diraja Palembang. Disebar luaskan ke seluruh Tanah Melayu kecuali Negeri Sembilan dan kawasan Naning di Melaka.

b) Dari segi politik Adat Temenggung bersifat autokrasi,iaitu kuasa terletak di tangan pemerintah atau raja. Raja atau sultan terlalu istimewa dan kuasanya diperkukuhkan dengan konsep daulat dan durhaka. Kuasa raja dikaitkan dengan kesaktian dan sesiapa yang melanggarnya terkena tulah raja. Raja mempunyai keistimewaan tertentu yang dilambangkan dengan penggunaan warna tertentu dan bahasa dalam yang hanya dikhaskan untuknya. Raja atau sultan mempunyai kuasa mutlak dan berhak melantik pembesar sama di peringkat negeri, jajahan, mukim mahupun kampung. Jawatan sultan adalah bersifat warisan iaitu putera sulungnya akan dilantik menjadi sultan jika berlaku kemangkatan sultan kecuali di Perak.

c) Dari segi pembahagian harta Adat Temenggung mengutamakan kaum lelaki (bersifat patriarchal) yang dianggap akan melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Sifat ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Anak lelaki akan mewarisi harta pusaka dengan kadar 2/3 berbanding anak perempuan. Ini berdasarkan tanggungjawab anak lelaki yang lebih besar dalam keluarga berbanding anak perempuan. Jika berlaku pencerian lazimnya cara pembahagian harta suami isteri dibuat mengikut hukum syarak. Harta yang didapati semasa perkahwinan dipanggil harta sepencarian. Bagi harta sepencarian, ia akan dibahagikan dua sama banyak kepada isteri yang diceraikan dan jika isteri yang diceraikan tidak bekerja si isteri hanya berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja.

d) Dalam soal perkahwinan Adat Temenggung mengamalkan endogami, iaitu membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja dengan syarat ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Seseorang perempuan yang berkahwin dikehendaki tinggal bersama-sama dengan keluarga ibu bapa suaminya kerana si isteri lazimnya akan menjadi ahli keluarga si suami.

e) Dari segi Udang-undang Adat Temenggung bersifat menghukum atau pembalasan. Oleh itu pelaksanaan sesuatu undang-undang dibuat dengan tegas. Ia bertujuan untuk memberi ikhtibar kepada orang lain dan pembalasan kepada si pesalah. Contoh kesalahan membunuh akan dihukum bunuh. Dalam Adat Temenggung sultan atau pembesar yang akan menjadi pelaksana undang-undang. Pembesar boleh mengendalikan semua kesalahan kecuali yang melibatkan hukuman bunuh. Kesalahan yang melibatkan hukuman bunuh hanya dikendalikan oleh sultan.

iii. Hukum adat masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak (6m)

a) Masyarakat di Sabah dan Sarawak juga mempunyai adat yang tersendiri seperti di Tanah Melayu bagi menjamin keharmonian hidup. Masyarakat bumiputera Sarawak mengamalkan Adat Tunggu (denda dan kesalahan) dan Undang-undang Mahkamah Melayu. Hukum adat mengawal soal bertanam padi dan tempat kediaman orang Iban. Hukum adat menentukan tanah kampung halaman adalah kepunyaan bersama sesuatu kumpulan masyarakat. Semua penduduk Rumah Panjang dalam kumpulan tersebut berhak bercucuk tanam, memburu, dan mengambil hasil hutan di kawasan kampung mereka. Antara kesalahan yang dikenakan hukuman denda ialah sesiapa yang gagal melaporkan sebarang bencana, kecemasan , tidak bekerjasama dalam sesuatu tindakan yang telah dipersetujui, dan pelawat yang memasuki rumah panjang tanpa menanggalkan parangnya.

b) Di peringkat kampung adat dilaksanakan oleh ketua kampung atau Majlis Orang Tua-Tua. Dalam mengendalikan sesuatu perbicaraan biasanya Pengeran Temenggong atau Datuk Orang Kaya yang mewakili Sultan Brunei dan dua orang wakil suku yang akan bertindak sebagai hakim. Masyarakat Sabah mengamalkan Adat Dusun, Adat Tenom, dan Adat Timogun. Hukum adat ini dikendalikan oleh oleh “Orang Tua”

Kesimpulan (2/3m)

Hukum adat memainkan peranan penting dalam mengekalkan peraturan hidup. Ia menjamin keharmonian dalam masyarakat, menentukan hak dan mengawal tingkah laku individu dalam masyarakat. Namun selepas kedatangan penjajah undang-undang adat semakin dipinggirkan kerana British memperkenalkan undang-undang Barat . Undang-undang barat mula mengantikan peranan undang-undang adat di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Hanya bahagian-bahagian tertentu undang-undang adat dikekalkan oleh British dengan sedikit penyesuaian bagi mengambil hati penduduk tempatan dan mengelakkan penentangan daripada penduduk tempatan.

No comments:

Post a Comment